Calon Ketua Menteri ditentukan ikut Perlembagaan – Najib

0
1

KEPUTUSAN mengenai siapa paling layak menjadi Ketua Menteri Sabah perlu ditentukan mengikut Perlembagaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata perkara itu hanya boleh diputuskan selepas Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan rakan parti lain berjaya merampas Sabah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kita kena patuh kepada Perlembagaan yang menyebut mana-mana Adun mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Adun lain akan dilantik sebagai ketua menteri.

“Jadi kita tunggu keputusan yang akan menentukan parti mana dan individu yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Adun.

“Itulah yang jadi penentu muktamad,” katanya selepas hadir program ‘Bossku berjumpa pengundi’ di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Andrassy Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Tawau, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan calon BN bagi DUN Balung, Hamild@Hamid Awang.

Najib berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, dilantik Ketua Menteri jika gabungan PN dan rakannya menang PRN.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan itu akan dipilih oleh Adun Sabah dan rakan kongsi politik apabila menang PRN.

Najib dalam pada itu berkata, PN sebagai pembangkang di Sabah perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kerajaan negeri bertukar tangan.

Katanya, masyarakat dan pengundi Sabah telah menunjukkan penerimaan positif terhadap PN dan peluang itu harus direbut segera.

“Saya melihat di tempat-tempat yang saya berjumpa dengan orang ramai, jentera dan pengundi nampaknya memberi sambutan positif, tetapi saya amat sedar keadaannya tidak mudah.

“Kita masih lagi perlu berusaha begitu gigih sebab kita dikira pembangkang di Sabah. Jadi sebagai pembangkang memang kena kerja lebih keras daripada mereka yang mempunyai kuasa sebagai kerajaan,” katanya lagi. – Malaysiapost