Premis memproses ayam haram disita

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini, menyita sebuah premis pemprosesan ayam di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur kerana beroperasi tanpa lesen serta melakukan pelbagai kesalahan lain.

Dalam serbuan jam 2 pagi disertai 22 anggota penguatkuasa itu, mendapati premis berkenaan turut cuai menumpahkan darah ayam, air buangan dan cecair kotor ke tempat awam termasuk longkang.

Jurucakap DBKL berkata, pemeriksaan dijalankan hasil aduan awam menerusi Pusat Panggilan Setempat DBKL.

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu menjalankan perniagaan memproses ayam hidup tanpa lesen.

“Malah, pemilik pemis itu juga didapati menggaji tiga pekerja warga asing membabitkan dua dari Bangladesh dan seorang dari India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, DBKL turut mengeluarkan enam kompaun dan satu notis penutupan.

“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan UUK 20(1)(b) kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen serta menggaji pekerja asing.

“Selain itu, DBKL juga mengeluarkan notis kompaun atas kesalahan tidak mendapatkan suntikan tifoid, membiarkan air buangan disalurkan terus ke longkang awam serta lantai dan dinding premis kotor dan berdaki hitam.

“Premis itu juga diarah tutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya. -MalaysiaPost