PKPD: Pelancong ke Langkawi merosot

0
2

JUMLAH pengunjung ke Pulau Langkawi menerusi Terminal Feri Kuala Perlis, menurun lebih 50 peratus, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar bermula semalam.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata meskipun pengunjung tidak boleh menaiki feri di Jeti Kuala Kedah akibat PKPD, mereka masih boleh meneruskan perjalanan melalui Kuala Perlis.

Beliau berkata, jumlahnya menurun dan pihaknya menjangkakan jumlah kemasukan pengunjung ke pulau peranginan itu sehingga 25 September ini merosot.

“Jumlah keseluruhan pengunjung yang memasuki Langkawi sehingga semalam, hanya mencatatkan seramai 2,736 orang berbanding seramai 5,700 orang pada hari kebiasaan.

“Walaupun hari ini adalah hari minggu, namun sehingga tengahari tadi, hanya seramai 2,085 orang yang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi berbanding sebelum ini mencatatkan jumlah berkali ganda,” katanya seperti dilapor BH.

Baharin berkata, ada pengunjung membatalkan perjalanan pada saat akhir, selain ada sebahagiannya menukar tarikh perjalanan.

“Menurut rekod kami, ada pengunjung menunda perjalanan pada Mac tahun hadapan dan berkemungkinan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi mengalami sedikit penurunan sepanjang TEMCO di Kota Setar,” katanya.
-Malaysiapost