Kluster Laut pula, berpunca PATI Filipina masuk semula ke Sabah

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu iaitu Kluster Laut dalam kalangan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster iaitu kes ke-9,859 adalah tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang telah dihantar balik ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos 2020.

Namun demikian, katanya, pada 5 September lalu kes menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

“Isteri kes (iaitu kes ke-9,860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

“Beliau mula bergejala pada 6 September 2020. Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9,861 dan ke-9,862),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 September 2020, seramai 49 individu telah disaring dalam kluster itu.

“Kesemua saringan ini melibatkan warganegara Filipina. Daripada jumlah ini empat kes dikesan positif Covid-19; 14 individu negatif dan 31 individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost