KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan siasatan kes bunuh Nurin Jazlin Jazimin tidak pernah ditutup dan aktif.
Beliau berkata, bukti penting dalam kes berkenaan sentiasa berada dalam bank data PDRM.
“Kes ini sentiasa aktif, namun PDRM masih belum mendapat apa-apa petunjuk baharu.
“Bagaimanapun, bukti-bukti penting seperti Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berhubung kes ini masih berada dalam bank data kami untuk rujukan apabila diperlukan kelak,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes berkenaan.
“Kami tidak pernah tutup kes itu. Kalau ada petunjuk baharu, kami akan ambil tindakan,” katanya.
Semalam, genap usia Nurin Jazlin berusia 21 tahun sekiranya masih hidup.
Kejadian pembunuhan menggemparkan negara itu berlaku ketika mangsa yang ketika itu berusia 8 tahun, dilaporkan hilang selepas dilarikan seorang lelaki menaiki van putih.
Mangsa dipercayai diculik ketika pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007.
Namun, pada 17 September 2007, polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkannya adalah Nurin Jazlin. -Malaysiapost

