PRN Sabah: Nazrul Nazir perli siapa?

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

TERIMA KASIH atas ‘muafakat’ ini. Semoga berjaya parti kalian dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah. Harapnya tak berlakulah lompat katak lagi, kata Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir.

Memuatnaik kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung PRN Sabah di Facebook miliknya, Nazrul berkata ‘Ya inilah kami’ (PAS) walau ditikam dan dikhianti tetap ok. 

“Kamu buat macam mana pun, kamu tikam dan khianat kami macam mana pun, kami tetap OK. Yang kami dahulukan adalah muafakat (bukan masa nak bertanding je baru guna term ‘muafakat’).

“Memang parti kami kecil di Sabah. Parti kami tak sehebat parti kamu yang dah berada lama dalam pimpinan (walaupun dengan parti yang berbeza). Tapi nak bagitahu kami juga ada ahli yang juga pengundi di Sabah.

“Terima kasih atas ‘muafakat’ ini. Semoga berjaya parti kalian dalam PRN Sabah. Harapnya tak berlakulah lompat katak lagi,” katanya.

Sebelum itu, Presiden PAS dalam kenyataan memaklumkan PAS mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan sekutunya dalam PRN Sabah, bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat berlangsung. 

Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

Katanya, pendirian PAS memberi laluan demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang. 

Sementara itu, Nazrul menerusi hantaran yang berbeza di Facebooknya memaklumkan  pihaknya tidak mempunyai masalah dilayan sedemikian.

“Lagipun kan mereka kata kena ikut sentimen pengundi setempat. Parti mereka kan memang ‘diterima’ pengundi setempat. 

“Tak apa, kita ok je. Nanti bila kalah, atau masa ada PRK di Semenanjung nanti, mereka datang lah balik cari kita. Masa tu, mereka ulanglah balik ayat ‘muafakat’ bawa berkat, ‘penyatuan’ ummah, ‘bersatu’ demi bangsa dan agama blablabla. 

“Macam biasa gambar dan video orang menangis di PWTC, gambar depan rumah sebelum bentuk kerajaan 1 Mac akan diulang siar beribu kali,” katanya.

Nazrul juga menyatakan apabila menang nanti, akan ‘claim’ pula menang atas logo sendiri/sebab kekuatan sendiri. 

“Bagus sebenarnya formula susun kerusi ikut sentimen pengundi ni. At least (sekurang-kurangnya) tak perlu susah-susah berebut di Kelantan, Terengganu, dan Kedah,” katanya. -Malaysiapost