PRN Sabah: Jamawi sedih tak dicalon, penyokong kecewa

0
2

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Jamawi Jaafar sedih tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Katanya beliau juga sedar ramai penyokongnya di Kemabong kecewa apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau terpaksa akur dengan apa saja keputusan termasuk dipindahkan sebagai calon di kerusi DUN Melalap.

“Saya pasti, ramai pengundi  Kemabong kecewa mendengar berita berkaitan pencalonan saya di DUN Melalap, pelbagai presepsi timbul.

“Saya ingin jelaskan, saya amat sayangkan masyarakat Kemabong. Banyak telah kita tempuhi sepanjang 27 bulan ini, banyak juga telah kita berjaya laksanakan, membawa nama Kemabong ke persada dunia dengan TagLine ‘Kemabong Onsoi’.

“Ada banyak lagi sebenarnya perancangan saya untuk DUN Kemabong,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Jamawi antara wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti untuk menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebelum keluar dan menyokong cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengambil alih kerajaan negeri, akhir Julai lalu.
Selepas itu, beliau kelihatan bersama pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan beliau menyertai semula Umno dan bertanding semula di Kemabong.

Nama beliau bagaimanapun tidak disebut dalam pengumuman calon Umno semalam, namun difahamkan ada tambahan dalam senarai calon parti itu, iaitu di Melalap, menjadikan keseluruhan calon BN daripada UMNO ialah 32 berbanding 31 yang diumumkan.

Jamawi berkata beliau menghormati keputusan Ahli Jawatankuasa Bahagian Umno Tenom untuk memberi laluan Kepada Ketua Bahagian, Datuk Raimi Unggi bertanding di Kemabong. 

“Saya memohon maaf, ramai yang menghubungi saya menyatakan kekecewaan. Sangat sebak dan sedih membaca luahan hati dan perasaan anda semua. Maaf juga tidak dapat membalas satu persatu mesej yang dikirimkan.

“Apapun inilah politik, tiada yang kekal. Insya-Allah, saya tidak akan berhenti membantu masyarakat Kemabong walau di manapun saya berada. Saya sangat sayangkan masyarakat Kemabong, saya sangat rindu kamu semua. 

“Khabarkan kepada saudara mara, sahabat, kenalan dan rakan taulan anda semua di DUN Melalap untuk bantu dan undi saya. Saya juga amat mengharapkan anda semua memberi sokongan dan undi kepada sahabat saya Datuk Raimi Unggi, calon BN di Kemabong pada 26 September ini,” katanya.

Beliau juga yakin dapat melakukan sesuatu yang lebih baik untuk DUN Melalap jika dipilih mewakili kawasan itu.

Jika keputusan mencalonkan Jamawi kekal, ini bermakna beliau akan bersaing dengan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Maleh sebagai rakan Perikatan Nasional (PN) menentang parti lawan.

Mereka bakal bertemu Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony yang dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu atas tiket Warisan.