Parti anak muda perlu sokongan dan pengalaman pemimpin lama

0
2

USAHA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mewujudkan parti anak muda wajar dipuji namun  ia memerlukan sokongan dan pengalaman luas daripada pemimpin lama.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak (DPIP), Mohammad Amirul Saharuddin berkata, tidak dinafikan majoriti parti kini dibarisi  pemimpin berusia, namun sikap saling melengkapi antara pemimpin berusia dan muda yang diamalkan sejak dahulu adalah yang terbaik.

“Kita bercakap soal menjadi pemimpin negara, mewakili suara rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen. Ia bukan sekadar menjaga kebajikan rakyat tapi gerak kerja pembangunan juga perlu diambil kira, dasar-dasar kerajaan.

”Perlembagaan wajib difahami sebelum mula mengorak langkah. Andai tersilap langkah ia boleh mengundang  permasalahan kepada negara. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling melengkapi kerana tiada manusia yang sempurna seperti perumpamaan pepatah melayu ‘tiada bumi yang tidak ditimpa hujan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengambil contoh Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menaikkan pemimpin lama dan baharu dan juga terdapat menteri yang bukan dari kalangan ahli politik. 

Mohammad Amirul berkata, seorang pemimpin bukan hanya berdasarkan politik semata-mata tetapi memerlukan pengalaman jangka masa panjang untuk memantapkan diri mentadbir kerajaan.

Tambahnya, beliau juga sependapat dengan Ketua Pemuda DPIP, Shahir Adnan berhubung kenyataan bahawa penubuhan parti anak muda ini akan memecah-belahkan lagi suara anak muda menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang. 

“Maka sebab itu cadangan menubuhkan parti anak muda merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana melihat golongan muda inilah yang bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan.

“Namun harus diingatkan sekali lagi, ilmu dan pengalaman tidak dapat dibeli kecuali berdamping dengan orang lama dalam sesebuah bidang,” katanya. –Malaysiapost