Kes positif kembali meningkat 3 angka

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KES baharu Covid-19 kembali meningkat kepada tiga angka dalam tempoh dua hari selepas 182 kes dilaporkan hari ini dengan 181 penularan tempatan dan satu kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes import membabitkan warga Filipina di Selangor, manakala daripada 181 kes penularan tempatan, 90 adalah warganegara manakala 91 bukan warganegara.

“Kluster Benteng LD, Kluster Telaga dan Kluster Sungai mencatatkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kedah mencatatkan 14 kes, di mana 11 kes daripada Kluster Sungai dan tiga kes daripada Kluster Telaga. 167 kes lagi adalah di Sabah iaitu membabitkan Kluster Benteng LD,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 14 kes yang telah pulih Covid-19 hari ini, di mana jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,181 kes (93.6 peratus daripada keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif  sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes,” katanya. – Malaysiapost

Perincian Kluster Benteng LD, Sabah
Jumlah saringan (2,837)


a) Tawau (2,067 disaring):
– 250 kes dikesan positif Covid-19 (167 kes baharu);
– 625 individu negatif; dan
– 1,192 individu masih menunggu keputusan.


b) Lahad Datu (770 disaring):
– 87 kes dikesan positif Covid-19;
– 291 individu negatif; dan
– 392 individu masih menunggu keputusan.