BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau telah dipergunakan bekas Setiausaha Politiknya Muhammad Zahid Md Arip bagi kepentingan peribadi.
Jelasnya Zahid adalah “penipu besar” politik Malaysia apabila mendakwa beliau merestui gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Memetik laporan Malaysiakini, Mahathir berkata beliau tidak pernah merestui gerakan “Langkah Sheraton”.
“Zahid ini pembohong terbesar dalam politik di Malaysia, dia dulu sokong Anwar (Ibrahim) lepas tu tolak Anwar, (kemudian) sokong saya, lepas tu tolak saya.
“Cuma untuk kepentingan diri dia, untuk itu dia sanggup bohong bermacam-macam. Ya dia cuba nak guna saya untuk kepentingan dia.
“Pasal dia ada masalah, jadi saya tak dapat tolong. Saya kata kita di Malaysia ni kita ikut lunas undang-undang, tak kira orang parti kalau salah, salah lah.
“Tapi dia marah pasal tu, dia nak cuba tukar kerajaan supaya dia selamat,” lapor portal berkenaan.
Pada 7 September lalu, Zahid menafikan tuduhan menjadi pencetus “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.
Bagaimanapun Zahid mengakui bersama pihak lain terbabit dalam gerakan menyekat Presiden PKR dan DAP serta mendakwa mendapat restu Mahathir yang ketika itu perdana menteri.
Zahid sebelum ini dikaitkan dengan pertuduhan rasuah yang dihadapi bekas pengerusi Felda Isa Samad berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching.
Dia didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.
Zahid sebelum ini telah ditangkap oleh SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan telah direman selama lapan hari.
Dalam pada itu, Mahathir berkata Zahid amat seronok seronok bila kerajaan bertukar kerana mungkin dia selamat.
“Dia kerjasama dengan Hamzah Zainuddin hendak jatuhkan PH kerna kononnya PH ini dikuasai oleh DAP,
tak benar sama sekali.
“Jadii kalau dia dapat tukar kerajaan mungkin dja terselamat. Jadi untuk ini dia cuba nak pujuk saya
tapi saya tak pernah ikut dia,” katanya lagi.- Malaysiapost

