TIGA kerusi ditandingi Perikatan Nasional (PN) turut ditandingi Barisan Nasional (BN) selepas kedua-dua pihak mengumumkan kerusi masing-masing secara berasingan hari ini.
Kerusi terbabit ialah Paginatan, Sook dan Tulid, masing-masing ditandingi Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala di pihak PN kerusi itu ditandingi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang mengumumkan kerusi PN, berkata beliau tidak tahu mengenai pertembungan itu.
“Saya belum mendapat maklumat, jadi saya tidak dapat memberikan komen berkaitan pertembungan itu,” katanya pada sidang media pengumuman calon PN, di Kota Kinabalu, petang ini.
Tengah hari tadi, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu turut bertanding di kerusi DUN Paginatan, manakala PBRS dalam kenyataan medianya menyenaraikan Sook dan Tulid untuk meletakkan calon.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata pertembungan sesama PN dan BN wajar dielakkan.
“Perkara ini mesti diselesaikan, satu daripada PN atau BN mesti keluar kerana kita mahu menang pada PRN ini, kita tidak mahu bertembung,” katanya.
Jelasnya, isu itu masih boleh diselesaikan sebelum penamaan calon lusa.
Sementara itu, Hajiji menafikan khabar angin bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mahu menyertai BERSATU dan bertanding atas tiket PN.
Katanya, tiada kemungkinan Musa dicalonkan BERSATU kerana senarai calon sudah diumumkan.
Nama Musa tidak tersenarai dalam calon Umno ketika diumumkan Bung Moktar.
Bung Moktar menjelaskan, ketiadaan itu kerana tiada sebarang permohonan dikemukakan Musa untuk kekal sebagai calon di mana-mana kerusi.
Terdahulu, pada sidang media itu, Hajiji mengumumkan sebanyak 29 kerusi bakal ditandingi PN yang merangkumi BERSATU, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Hajiji sendiri mempertahankan kerusi DUN Sulaman, manakala Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun mempertahankan kerusi DUN Karanaan.
Antara pemimpin lain BERSATU yang mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Mohd Ariffin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).
Dua penyandang yang sebelum ini meninggalkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya turut dicalonkan semula.
Mereka ialah Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik).
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula mempertahankan kerusi DUN Tambunan.
Senarai penuh kerusi ditandingi PN ialah Tanjung Kapor, Bandau, Pintasan, Sulaman, Petagas, Kawang, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Nabawan, Labuk, Segama, Silam, Senallang, Bugaya, Apas, Merotai dan Sebatik.
Selebihnya ialah Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Sri Tanjung, Moyog, Paginatan, Tulid, Luyang dan Tanjung Papat.-Malaysiapost

