KJ jumpa Veveonah, mohon maaf bagi pihak Kerajaan

0
1

KHAIRY Jamaluddin hari ini bertemu dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin dan ibu bapanya bagi memohon maaf terhadap isu berbangkit membabitkan gadis itu di Dewan Negara, baru-baru ini.

Menerusi Twitternya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau sempat bertemu Veveonah di UMS dan memohon maaf bagi pihak kerajaan berhubung dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Khamis lalu.

“Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan.

“Saya juga telah cadangkan untuk Veve (Veveonah) berkerjasama dengan @YayasanInovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Pada 3 September lalu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah dalam satu video yang dimuat naik di Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya terpaksa memanjat pokok bagi mendapat liputan internet bagi menjawab peperiksaan yang diadakan secara dalam talian.

Menurut Zahidi, beliau mengakui memperoleh maklumat daripada Abdul Rahim.

Pada 7 September lalu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah video berkenaan adalah palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi meraih perhatian.

Kenyataan daripada dua timbalan menteri itu pantas menerima kecaman dan kritikan warga media sosial termasuk pemimpin pembangkang antaranya Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyifatkan tindakan kedua-dua timbalan menteri sebagai buli siber.-Malaysiapost