TENANG dan jangan bising, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu pembahagian kerusi parti menyokong Perikatan Nasional (PN) yang semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Annuar berkata, jika dihitung permintaan setiap parti dalam gabungan itu, jumlah kerusi yang dimahukan sudah mencecah 120 sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya menawarkan 73 kerusi.
“STAR nak 18 (kerusi), PPBM (Bersatu) nak 45, PBS nak 30, PAS nak 10, PBRS nak 11, MCA nak 6… dah 120!!!
“DUN Sabah cuma ada 73. Umno nak berapa kalau parti yang menang satu, dua kerusi pun nak berbelas-belas.
“Maka kita berunding setakat yang boleh… tenang-tenang jangan bising,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Semua parti dalam gabungan PN dijangka mengumumkan senarai kerusi ditandingi serta calon parti masing-masing esok, iaitu dua hari sebelum penamaan calon.
Semalam, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata lebih baik parti itu bertanding sendiri jika hanya diberi enam atau tujuh kerusi, berbanding 15 hingga 18 kerusi yang diharapkan mereka.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata parti Islam itu berhasrat bertanding di 10 kerusi, namun perincian kawasan DUN yang bakal ditandingi akan diumumkan dalam masa terdekat.
Parti Bersatu Sabah (PBS) pula dilaporkan meminta 30 kerusi, namun berharap mendapat sekurang-kurangnya 20 dan ia tidak termasuk kemungkinan terpaksa dibahagikan lagi dengan Parti Maju Sabah (SAPP).
Laporan media sebelum ini juga menyebut BN mendapat 30 kerusi, diikuti Bersatu 20 kerusi, namun Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia hanya khabar angin kerana semuanya belum dimuktamadkan.

