Isu Veveonah: Annuar Musa ingatkan DAP, tak payah nak menghasut

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membidas tindakan Ahli Parlimen DAP yang didakwa cuba menghasut rakyat berhubung isu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Menerusi ciapan di Twitter, Annuar merujuk tindakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang membalas ciapannya sebelum ini berhubung ‘gadis pokok’.

“Baca isu ‘gadis pokok’… tak payah menghasut.. macam dah tak ada kerja lain.

“Kami meluangkan masa untuk membantu dan berkhidmat kepada Sabah dan Sarawak lebih lama berbanding kamu,” kata Annuar bagi membalas ciapan Yeoh.

Yeoh sebelum ini menulis “dia (Veveonah) bukan gadis pokok” bagi merujuk kenyataan yang dikeluarkan Annuar sebelum itu.

Ahli Parlimen Ketereh itu sebelum ini menerusi Twitter berkata kisah gadis pokok, Veveonah ini sewajarnya menyuntik kesedaran bahawa masih banyak kampung terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak yang sangat memerlukan kemudahan infrastruktur dan rangkaian komunikasi yang lebih baik.

“Sebagai kerajaan kita sewajarnya merealisasikan kemudahan-kemudahan tersebut, selesaikan masalah rakyat dan berhentilah hidup dalam penafian,” katanya.

Sementara itu, menerusi ciapan berasingan Annuar menyatakan kegigihan Veveonah dalam menuntut ilmu boleh diangkat sebagai ikon anak muda. – Malaysiapost