Empat remaja bawah umur ditahan ragut wanita

0
2

Fitri Nizam

EMPAT remaja termasuk seorang perempuan ditahan penduduk di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi di Kuala Lumpur selepas meragut seorang wanita, semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, mangsa dikatakan didatangi suspek perempuan berusia 16 tahun ketika berada di tepi jalan kononnya mahu meminjam telefon bimbit untuk menghubungi ibunya.

Suspek kemudian dikatakan merampas telefon bimbit itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata melihat kejadian itu, orang ramai yang sedang berada di kedai makan berhampiran segera mengejar suspek.

“Suspek dilihat melarikan diri bersama tiga lagi rakan lelakinya sebelum kesemua mereka dapat ditahan.

“Penduduk kawasan berkenaan kemudian menyerahkan suspek kepada anggota Balai Polis Salak Selatan Baru,” katanya.

Mokhsein berkata, tiga lagi suspek lelaki yang ditahan berusia antara 14 hingga 17 tahun dan kesemua mereka didapati tidak bersekolah.

“Keempat-empat mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah selain tidak terbabit dalam pengambilan dadah.

“Kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah dan siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.