PRN Sabah: Nama Musa tiada dalam senarai

0
2

PENGERUSI Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akan bertanding di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Bung Moktar berkata tiada sebarang perbincangan dengan Musa mengenai pencalonan beliau setakat ini.

Katanya, nama Musa juga tiada dalam senarai calon Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkannya esok.

“Saya tiada perbincangan mengenai itu. Nama beliau juga tiada dalam senarai calon yang akan diumumkan esok,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Pagi tadi, Musa yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga memuat naik satu hantaran di Facebook beliau iaitu ‘I’m going back to Sg Manila’ yang bermaksud ‘Saya pulang ke Sg Manila’.

Hantaran itu menimbulkan spekulasi yang beliau mungkin berpindah kerusi dari Sungai Sibuga ke Sungai Manila pada PRN kali ini.

Ia juga secara tidak langsung menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan anaknya, Yamani Hafez akan mengambil alih tempatnya di Sungai Sibuga.

Setakat ini, Musa masih ahli Umno, manakala Yamani yang juga Ahli Parlimen Sipitang menyertai Bersatu sejak parti itu dikembangkan ke Sabah kira-kira setahun lalu.-Malaysiapost