KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air bercadang menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar bagi membendung isu pencemaran.
Menterinya, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim, berkata ia adalah langkah jangka sederhana yang akan digalas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyelaras tindakan untuk mengekang isu pencemaran.
Beliau berkata, cadangan itu secara dasarnya dipersetujui Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perbincangan pagi semalam.
Selain itu, katanya, cadangan sama juga dijangka dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat.
“Unit ini dicadang untuk diletakkan di bawah sektor keselamatan memandangkan isu berkaitan air dan alam sekitar ini dilihat berpotensi menjejaskan keselamatan negara terutama ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jika sebarang bencana berlaku,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, kementerian itu juga akan mempercepatkan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang akan mengenakan penalti lebih berat.
Kementerian bercadang untuk membentangkannya pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Selain itu, kementerian juga akan memastikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan pemantauan terhadap kualiti air mentah secara berkala dan meningkatkan kekerapan operasi melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Penguatkuasaan ini akan dilakukan secara mengejut ke lokasi di huluan muka sauk. Untuk makluman, saya sebenarnya selalu turun ke sungai dan selepas ini kita akan lebih giatkan aktiviti pemantauan ini.
“Kementerian juga akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri kertas cadangan inisiatif untuk memastikan sumber air mentah tidak dicemari dan menyebabkan gangguan bekalan air,” katanya. – Malaysiapost

