Kanak-kanak pandu lori pula tular

0
2

BELUM pun reda kes kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun memandu kereta di Rembau, tular pula video kanak-kanak lain memandu lori tangki, dipercayai di Rantau, juga di Negeri Sembilan.

Video berdurasi seminit 18 saat itu memaparkan kanak-kanak lelaki sedang mengalihkan sebuah lori jenis Hino.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata polis kini giat mengesan ibu bapa kanak-kanak itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Berdasarkan video itu, kanak-kanak lelaki berkenaan memandu sebuah lori jenis Hino dan semakan mendapati ia berlaku di kawasan Rantau di sini.

“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu kerana bapa kanak-kanak tersebut dengan cuai membiarkan anak bawah umur memandu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tengah hari semalam, tular video seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga dengan tajuk ‘Handa orang Rombau haa’.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kanak-kanak berkenaan turut memberitahu bapanya yang mengajarnya memandu kereta apabila ditanya oleh seorang lelaki dipercayai perakam video.

Susulan itu, ibu bapa dan murid tahun tiga tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau bagi membantu siasatan. – Malaysiapost