Arwah pernah luah hasrat berhenti tentera

0
2

ABANG kepada anggota tentera yang maut akibat terjatuh dari tingkat tiga kediaman di kem tentera dekat Batu Pahat, Johor mendedahkan bahawa adiknya pernah menyatakan hasrat untuk berhenti daripada tentera.

Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, berkata, hasrat itu diluahkan adiknya, Abdul Aziz Aznam, 20, kerana tidak tahan kena ‘ragging’.

“Saya perasan sejak Disember tahun lepas, dia selalu cakap tak tahan duduk sana, hari-hari kena, tapi kami anggap itu perkara biasa sehinggalah arwah ambil keputusan untuk pulang ke rumah dan duduk di sini selama lebih enam bulan.

“Sepanjang tempoh dia berada di rumah, dia nampak betul-betul ceria, tolong mak dan adik beradik lain buat kerja, jadi bila dia beritahu sekali lagi yang dia nak berhenti, kami tak sampai hati dan bersetuju dengan keputusannya itu,” katanya dipetik daripada laporan Sinar Harian.

Dia berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri dan dengan harapan dapat menguruskan proses tamat perkhidmatan.

“Saya dan mak yang hantar dia sampai ke pintu kem, bila semuanya selesai kami pun pulang, tapi tak sampai 24 jam, keesokan pagi sekitar jam 3 pagi saya dapat panggilan yang adik jatuh dari tingkat tiga bangunan.

“Saya dan mak menyusul ke hospital dan ketika itu keadaan adik sungguh menyayat hati, dia dah tak sedarkan diri,” katanya.

Justeru, Amirulnaim berkata, dia dan ahli keluarga lain menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat punca sebenar tragedi itu.

Bagaimanapun, ahli keluarga meletakkan harapan tinggi agar kematian adiknya Abdul Aziz Aznam, 20, terbela.

“Harap pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat siasat dengan betul dan telus mengikut undang-undang, biarlah ada keadilan dalam siasatan itu nanti.

“Buat masa ini, tiada apa yang boleh kami lakukan kerana tidak tahu kedudukan sebenar kejadian, jadi kami serahkan sepenuhnya kepada polis dan tentera untuk menyiasat,” katanya.

Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang semalam selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, malam ini selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor. – Malaysiapost