SEORANG pegawai kanan polis ditahan kerana melakukan provokasi dengan menghina dan mengugut anggota polis lain susulan serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, awal pagi semalam.
Suspek berusia 39 tahun bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata hasil maklumat pada jam 2.05 pagi, anggota kereta peronda polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti menyerbu pusat hiburan terbabit.
“Polis mendapati premis itu masih beroperasi dan terdapat ramai pelanggan. Ketika pemeriksaan, seorang lelaki datang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis yang bertugas di kontinjen Selangor.
“Pegawai itu membuat provokasi, menghina dan mengugut anggota polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, seramai 227 individu dikompaun RM1,000 kerana melanggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), iaitu terlibat dalam aktiviti dalam pusat hiburan di sekitar Petaling Jaya.
Operasi itu dijalankan terhadap tiga premis pusat hiburan di Kelana Jaya dan Damansara oleh pasukan dari IPD Petaling Jaya, awal pagi semalam.
Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam operasi menerusi Ope Noda itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan di salah sebuah premis terbabit.
Katanya, lelaki tempatan itu mengaku sebagai penjaga premis dan polis turut menahan empat lelaki warga asing.
“Semakin mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah serta tidak memiliki lesen menjual minuman keras dan menggaji pekerja asing tanpa permit sah.
“Polis juga mengeluarkan 227 kompaun kepada 227 orang kerana melanggar peraturan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No 2) (Pindaan) 2020,” katanya.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah komputer riba, sebuah mixer dan 15 botol arak pelbagai jenama.
“Pihak IPD Petaling Jaya akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

