Cikgu Chico buka kelas muzik bawah pokok, tepi Pantai Sepat

0
3

Nurul Huda Abhar

KELAS tambahan atau tuisyen biasanya diadakan dalam bangunan tertutup dengan jumlah pelajarnya tidak ramai serta lebih fokus.

Tetapi bagaimana pula dengan konsep kelas tuisyen muzik terbuka di bawah pokok dan diselangi angin pantai sepoi-sepoi bahasa, ditambah bunyi deruan ombak Pantai Sepat di Kuantan, Pahang.

Begitulah keadaan kelas tuisyen muzik terbuka dijalankan Cikgu Abdullah Mohammad, 78.

Susuk tubuhnya yang masih kuat dan kerana minat mendalam terhadap seni muzik, membuatkan beliau tidak kekok untuk mengajar dan memegang pelbagai jenis instrumen muzik sehingga kini.

Dengan hanya sebuah meja kecil, beberapa kerusi plastik, buaian digantung pada pokok, dan papan tanda ringkas sudah cukup memberi keunikan tersendiri berbanding dengan kelas tuisyen yang lain.

Kelas tuisyen bawah pokok

Lebih dikenali sebagai Cikgu Chico dalam kalangan teman dan anak muridnya, beliau memberitahu kelas ‘tuisyen muzik bawah pokok’ itu telah dilaksanakan selama enam tahun.

Abdullah atau Cikgu Chico berkhidmat 33 tahun dalam bidang perguruan

Beliau pada mulanya mengajar tuisyen muzik di kediamannya di Kampung Tengah, Kuantan semasa masih berkhidmat dalam bidang perguruan.

Walaupun pelajar yang mengikuti tuisyen muzik itu tidaklah sentiasa ada seperti subjek akademik lain, tetapi pelajarnya terdiri daripada semua peringkat umur.

“Orang dewasa ada, yang dah nak pencen pun ada juga datang. Budak-budak pun ada yang mengikuti kelas saya.

“Sebenarnya saya selalu ajar budak-budak yang nak ambil peperiksaan. Tapi kalau nak belajar suka-suka pun boleh. Selalunya mereka akan ada peperiksaan bulan Ogos, pemeriksa akan datang dari London,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Cikgu Chico memberitahu bayaran yang dikenakan juga mengikut tahap kelas pelajarnya, di mana terdiri dari peringkat rendah dan peringkat atas.

Bagi peringkat rendah, bayaran hanya RM10 sejam dan kebiasaannya pelajar beliau membayar RM60 sebulan.

Manakala, bagi peringkat tinggi iaitu diploma dan ke atas, pelajar membayar RM300 sebulan.

Cikgu Chico berkata, kelasnya merangkumi teknik mengendalikan peralatan muzik seperti gitar, alatan tiupan dan teknik pemantapan vokal.

Kelas muzik Cikgu Chico disertai pelajar dari pelbagai peringkat umur

“Kelas selalu mula jam 4 petang sehingga hampir Maghrib. Saya mengajar mereka teknik pembacaan nota muzik dengan kaedah mudah supaya lebih faham.

“Alat muzik semasa kelas pun saya sediakan kerana dalam simpanan saya banyak.  Gitar saja ada berbelas. Ada juga yang sudah rosak dan alat seperti ‘amplifier speaker’ saya tak berani nak gunakan sebab sudah lama sangat,” katanya lagi.

Cintanya terhadap muzik mendorong beliau mengumpul instrumen seperti gitar, alat tiupan saksofon dan pelbagai jenis lagi sejak dari tahun 1960-an sehingga kini.

Berkongsi mengenai sambutan orang ramai tentang tuisyennya, beliau secara peribadi sangat berbesar hati dengan penerimaan pelajar yang sudi mengikuti kelas berkenaan.

Tambah Cikgu Chico, ada pelajarnya yang menyambung pengajian dalam seni muzik ke peringkat lebih tinggi dan menjadi pemain alat muzik pengiring untuk artis tanah air.

Pesara guru

Menyingkap kembali karier beliau, siapa sangka susuk tubuh ini telah berkhidmat sebagai guru selama 33 tahun sebelum bersara dari arena perguruan pada 1998.

Pernah mengajar di beberapa daerah di Pahang, termasuk Rompin, Temerloh dan Kuantan, Cikgu Chico tidak tertumpu hanya mengajar kelas muzik sahaja.

“Saya dulu ada mengajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris. Saya mula mengajar pada 1965 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan sekolah terakhir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan,” katanya.

Cikgu Chico juga memaklumkan pernah membuat persembahan di Hong Kong pada tahun 1980-an semasa aktif mengikut kumpulan muzik yang ada ketika itu.

Cikgu Chico bersama keluarga

Sehingga kini, beliau masih mendapat jemputan membuat persembahan bermain alat muzik di ‘coffee house’ sekitar Kuantan.

Warung Chico

Bagi pengunjung Pantai Sepat, anda juga boleh menjamu selera di Warung Chico milik cikgu ini yang terletak berhampiran dengan tempat tuisyen muzik miliknya.

“Menu di warung saya ada satar panas, pisang goreng, sosej, naget dan minuman untuk santai petang. Saya berniaga dengan isteri di sini sejak enam tahun lalu,” ujarnya.

Apabila diajukan soalan mengenai pembelajaran kini lebih kepada medium digital, beliau memberitahu itu adalah perkembangan yang baik.

Katanya, cabang pembelajaran harus mengikuti arus pemodenan agar kita pantas mendapat ilmu dan terus ke hadapan.

“Kini budak-budak semua dah ada telefon  bimbit masing-masing. Ada baiknya sebab mereka senang nak belajar dan cepat dapat maklumat,” katanya. – Malaysiapost