PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sehingga jam 6.30 pagi tadi, sebanyak 948 daripada 1,292 kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air, telah pulih sepenuhnya.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata sebanyak 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 73.37 peratus daripada 1,292 kawasan yang tejejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi kawasan kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 69 kawasan masih belum pulih sepenuhnya disebabkan penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang telah mula menerima bekalan air.
“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan semua kawasan terbabit,” katanya.
Elina turut menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air secara berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas, berjalan lancar mengikut jadual. – Malaysiapost

