PBS sukar terima jika dapat 8 kerusi saja

0
2

PARTI Bersatu Sabah (PBS) sukar menerima jika hanya lapan kerusi diperuntukkan kepada parti itu, selain terpaksa membahagikannya dengan Parti Maju Sabah (SAPP) menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun, berkata walaupun mengakui sukar untuk mendapat agihan kerusi yang dikehendaki parti itu, ia tidak seharusnya terlalu jauh berbeza daripada permintaan asal.

Jelasnya, berdasarkan pendirian parti itu yang menyatakan mahu bertanding di 30 kerusi, ia sekurang-kurangnya mendapat 20 kerusi selepas berunding dengan parti lain.

“Kalau lapan kerusi diperuntukkan kepada PBS dan SAPP, saya rasa itu tidak tepat kerana sebelum ini PBS sendiri sudah menjelaskan pendirian kita untuk bertanding di 30 kerusi.

“Jadi, paling kurang kerusi kita dapat selepas mengambil kira rundingan dengan parti lain ialah 20, sebab kita mahu keputusan menang-menang,” katanya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai jumlah agihan kerusi yang diperolehi PBS selepas beberapa parti dilaporkan sudah diberikan agihan masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan Barisan Nasional (BN) bakal bertanding di 30 kerusi, disusuli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak 20 kerusi.

Semalam, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut mengumumkan parti itu akan bertanding di 15 kerusi, selain masih berunding untuk mendapatkan tiga lagi kerusi.

Berdasarkan perkembangan itu, ia bermakna jumlah kerusi yang sudah diagih oleh BN dan PN setakat ini ialah sebanyak 65 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna hanya lapan kerusi lagi belum disebut pemiliknya, namun secara tidak langsung ia merujuk kepada dua lagi parti yang bekerjasama dengan PN iaitu PBS dan SAPP.

Mengenai agihan kerusi yang dilaporkan itu, Johnny yang juga Ketua Penaja PBS Bahagian Limbahau, Papar, berkata ia hanya spekulasi angka kerana rundingan belum selesai.

“Jumlah sebenar agihan kerusi belum dimuktamadkan kerana masih ada yang perlu dirunding antara parti yang menuntut kerusi sama.

“Jadi, angka disebutkan dalam laporan itu hanya anggaran dan ia mungkin berubah selepas perundingan antara parti diselesaikan pada hari ini atau esok,” katanya.

Pengumuman calon BN dan PN dijangka dibuat serentak sama ada esok atau lusa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 22 September dan hari mengundi biasa pada 26 September ini.-Malaysiapost