[Dewan Negara] BEKAS Setiausaha Politik Perdana Menteri ketujuh, Senator Muhammad Zahid Md Arip hari ini mendakwa beliau bukan pencetus Langkah Sheraton sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.
Ahli Dewan Negara itu berkata beliau mahu memperbetulkan tuduhan tidak tepat dan tidak benar sama ke atasnya seperti didakwa beberapa pihak sejurus kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan memerintah.
“Saya bukanlah pencetus kepada Langkah Sheraton. Tetapi, saya mengakui bersama beberapa teman yang lain terbabit menggerakkan langkah politik menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP dengan restu YAB Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
“Selebihnya, ia menjadi sejarah dan biarlah saya simpan demi hormat saya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang Negarawan terbilang dan ulung yang jasanya kepada bangsa dan negara cukup besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Bercakap lanjut, Muhammad Zahid berkata di sebalik tumbangnya kerajaan PH, secara peribadi beliau pasti Dr Mahathir menjadi orang yang paling gembira, cuma kegembiraan itu tidak terzahir dan terucap.
“Matlamat beliau yang tidak mahu Datuk Seri Anwar menggantikannya dan serta matlamat untuk mengekang kemaraan DAP sudahpun tercapai dengan jayanya,” katanya.
Mengenai peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, katanya, ramai bertanya kenapa bekas Pengerusi Bersatu itu berbuat demikian.
“Jawapan saya, selain Qada dan Qadar, Allah SWT juga menetapkan bahawa sudah tertulis sejak azali lagi – peletakan jawatan Tun Dr Mahathir adalah kerana rezeki Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan,” katanya.
Selepas kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan pada akhir Februari lalu, bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa Muhammad Zahid mendalangi perjumpaan dihadiri ramai pemimpin parti politik di Hotel Sheraton pada 23 Februari.
Syed Saddiq mendakwa, beliau sendiri diminta hadir perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Dr Mahathir. – Malaysiapost

