BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang disiasat Lembaga Disiplin Bersatu kerana hadir kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini, muncul dalam satu majlis parti Pejuang malam tadi.
Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Abu Bakar Yahya menuat naik video serta beberapa gambar majlis berkenaan yang turut disertai Osman di Facebooknya.
Majlis berkenaan adalah bagi meraikan jentera Pejuang dari Johor yang berkempen untuk calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi di Slim, minggu lalu.
“Alhamdulillah, selesai sudah menghadiri jemputan majlis meraikan jentera Pejuang daripada Johor yg membantu calon Bebas di Slim River,” kata Abu Bakar.
Dalam satu hantaran video berasingan, Abu Bakar menulis:
“Kami bersama ramai-ramai melaungkan
Hidup Pejuang
Hidup Pejuang
Hidup Pejuang
Jangan tanya kenapa YB Dato’ Osman Safian tidak meninggalkan Bersatu, tapi lihat apa yang beliau telah lakukan. Tolong kongsikan seramai mungkin biar ramai yang tahu.”
Jumaat lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil Osman bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan beliau membantu kempen calon Bebas.
“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita kena beri keutamaan kepada rakyat.
“Buat masa ini, kita akan memanggil Osman menghadap lembaga disiplin parti dalam tempoh terdekat. Kita akan mengeluarkan surat kepada beliau dan memberinya tempoh seminggu,” katanya.
Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan Osman yang dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi di Slim.
Osman kemudian mendakwa kehadirannya di Slim, sekadar bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tiada kaitan dengan politik. – Malaysiapost

