SENATOR Muhammad Zahid Md Arip dari Bersatu mencadangkan supaya kerajaan menaik taraf Kompleks Sri Perdana manjadi seperti White House di Amerika Syarikat (AS) dan 10 Downing Street di England.
Beliau berkata, jika kompleks sebesar itu hanya berfungsi sebagai kediaman rasmi Perdana Penteri, ia dikhuatiri bakal menjadi projek seperti “Gajah Putih”.
“Sudah sampai masanya Kompleks Sri Perdana dinaik taraf, bukan lagi fungsinya sekadar kediaman rasmi Perdana Menteri, tetapi turut menempatkan pejabat serta kediaman rasmi Perdana Menteri seperti White House dan 10 Downing Street di England.
“Jika kompleks sebesar itu hanya menempatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, saya bimbang ia menjadi seperti projek Gajah Putih, sedangkan terdapat banyak ruang di kompleks berkenaan yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau mencadangkan demikian ketika menyampaikan ucapan menjujung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Muhammad Zahid turut mencadangkan satu akta diwujudkan bagi melindungi kompleks tersebut, antara lain membolehkan sesiapa yang menjadi Perdana Menteri tidak boleh mengubah suai kediaman itu sesuka hati.
Kompleks Seri Perdana di Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya, dibina pada 1997 di tapak seluas 17 hektar ketika pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Selain Dr Mahathir, ia pernah didiami Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak dan kini Tan Sri Muhyiddin Yassin.-Malaysiapost

