Fitri Nizam
ADAKAH Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki akan buat tak tahu tentang kes timbalan menteri melantik adik dan ahli keluarganya sebagai penjawat awam, tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, SPRM sebelum ini menyatakan tidak menjadi kesalahan bagi menteri, timbalan menteri atau ahli politik untuk mengeluarkan surat sokongan.
Namun, Ahli Parlimen Bagan itu menggesa Azam untuk menjelaskan surat sokongan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mengesyorkan anak sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga merupakan satu kesalahan rasuah atau tidak.
“Jelas di sini, satu kesalahan telah dilakukan Ikmal kerana menyalahgunakan jawatannya untuk memanfaatkan anak sendiri.
“Malah beliau mengaku bersalah kerana menulis surat sokongan melantik anaknya dan akan menarik balik surat tersebut, namun nasi sudah jadi bubur dan apa yang salah harus dikenakan tindakan oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kini timbul pula dakwaan seorang timbalan menteri lain melantik adik dan ahli keluarga sebagai penjawat awam di pejabatnya.
Justeru, Guan Eng meletakkan kegagalan itu di bahu Azam kerana tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi.
“Semua ini boleh berlaku kerana kegagalan Azam Baki mengambil tindakan ke atas mereka yang menggunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi, yang merupakan satu ramuan toksik (toxic cocktail) penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan rasuah yang kian menular dalam kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau turut melontarkan persoalan sama ada Azam akan menyiasat perkara itu atau ia akan menjadi seperti kes Timbalan Menteri Pertahanan.
“Jangan biarkan slogan SPRM ‘adil tegas amanah’ tinggal kata-kata kosong sahaja, digantikan dengan persepsi “antara dua darjat’ atau “double-standard” di antara VIP (kenamaan) dan rakyat biasa,” katanya.
Kelmarin, Malaysia Post melaporkan seorang timbalan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai melantik adik dan anak saudaranya untuk jawatan penting di sebuah pejabat kementerian.
Menurut sumber, timbalan menteri berkenaan melantik adiknya sebagai setiausaha sulit yang bertanggungjawab membantunya dalam kerja di peringkat kementerian dan kawasan parlimen.
Bagaimanapun, setiausaha sulit berkenaan melantik anaknya sebagai setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada timbalan menteri tersebut.
Difahamkan, perkara itu menjadi persoalan memandangkan kelayakan akademik SUSK berkenaan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun mendapat lantikan Gred 52, dan adakah perkara itu dibenarkan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Malah, kalangan ketua Jabatan dan ketua pengarah di kementerian berkenaan dilaporkan tidak berpuas hati dengan pelantikan SUSK berumur 21 tahun. – Malaysiapost

