TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mendakwa maklumat yang diperolehnya mengenai Veveonah Mosibin, pelajar yang memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet adalah daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri.
“Kita dapat maklumat isu tersebut apabila kita rujuk dengan wakil rakyat kawasan iaitu di Kudat, di mana wakil rakyatnya adalah seorang Timbalan Menteri Kewangan dan dimaklumkan kepada saya Veveonah adalah Youtuber dan hari tersebut tiada peperiksaan.
“Maklumat yang diperoleh oleh wakil rakyat kawasan itu adalah daripada pensyarah iaitu seorang profesor dan seorang doktor pensyarah kanan.
“Jadi dimaklumkan kepada Timbalan Menteri itu yang juga wakil rakyat. Jadi dalam isu tidak pasti jangan kongsi ini maklumat mana yang kita nak rujuk,” katanya dalam sidang media di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Zahidi berkata beliau tidak melihat keperluan Abd Rahim untuk menipu atau memberikan maklumat tidak benar, menyebabkan beliau mempercayainya lalu bercakap di Dewan Negara tempoh hari.
Khamis lalu, Zahidi menyangkal laporan Veveonah, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah bagi mendapat capaian internet untuk peperiksaan.
“Veveonah merupakan seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.
“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu,” katanya.
Veveonah dalam reaksi balasnya menafikan beliau menipu, malah menyertakan bukti jadual peperiksaannya.
Beberapa jam kemudian, Zahidi memohon maaf kepada Veveonah dan memberi jaminan akan membuat pembetulan di Dewan Negara susulan kenyataannya itu.
“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.
“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan,” katanya.-Malaysiapost

