MB Selangor minta maaf atas kesilapan isterinya

0
1

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berharap “isu kolam renang” yang ditimbulkan isterinya ketika rakyat Selangor berdepan masalah air tidak dipolemikkan lagi.

Jelas Amirudin isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad, telah mengemukakan permohonan maaf semalam atas kesilapan itu.
.
“Tidak mengapalah, mungkin isu itu dijadikan sebagai bahan serangan.

“Saya harap semua perlu berhati-hati dan kita minta maaf atas kesilapan itu,” katanya pada sidang media, di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Masdiana memohon maaf kerana tindakannya muat naik gambar kolam renang di Instagram baru-baru ini menyebabkan salah tafsir dan mengguris perasaan orang ramai.

Masdiana memuat naik dua gambar berbeza yang mana satu gambar lori tangki menghantar air ke kediaman Menteri Besar itu, manakala satu lagi gambar mereka sedang mandi di kolam renang ketika 1.2 juta akaun di tujuh wilayah Lembah Klang terjejas bekalan sejak Khamis lalu.

Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan lori tangki Air Selangor ke rumahnya bagi memenuhkan kolam renang.

Tindakan Masdiana itu menerima kecaman hebat warganet yang berpendapat isteri Menteri Besar Selangor itu tidak sensitif dengan masalah dihadapi rakyat.- Malaysiapost