JABATAN Imigresen mengeluarkan senarai sekatan kemasukan rakyat daripada 23 negara yang mencatatkan kes Covid-19 melebihi 150,000 berkuatkuasa hari ini.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan itu, negara yang terbabit adalah Amerika Syarikat, Brazil, Peru, Colombia, Argentina, Mexico dan Chile.
Selain itu, Rusia, Sepanyol, United Kingdom, Perancis, Turki, Itali, Jerman dan Afrika Selatan.
Turut tersenarai adalah negara Asia iaitu Arab Saudi, India, Iran, Iraq, Filipina, Indonesia, Bangladesh dan Pakistan.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara berkenaan.
Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.
Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.
Dua hari selepas itu, Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menyekat kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari negara yang mencatat kes positif Covid-19 melebihi 150,000.
Menteri Pertahanan itu berkata pengecualian hanya diberi bagi kes kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara, namun perlu kebenaran Jabatan Imigresen. – Malaysiapost

