Apa persamaan antara DAP dan lelaki, tanya Marina

0
1

SETIAUSAHA Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim hari ini melontarkan sindiran dalam bentuk teka-teki, dipercayai ditujukan kepada pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menerusi ciapan di Twitternya, Marina bertanya apa persamaan antara parti disertainya iaitu DAP dan lelaki.

“Jawapan: Kalau ada salah, semua salah mereka,” tulisnya.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin dalam kerajaan PN, termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilapor menyalahkan DAP susulan isu membabitkannya.

Kelmarin, Mohd Khairuddin dilaporkan berkata beberapa isu yang membelenggu dirinya adalah sabotaj terancang oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Beliau berkata, walaupun beberapa kali mengakui berlaku kekhilafan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi pemimpin pembangkang masih membangkitkan isu itu termasuk pada persidangan Parlimen.

“Disebabkan kekhilafan itu, saya sudah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman.

“Saya anggap diri saya menjadi mangsa sabotaj terancang bukan saja daripada pemimpin PH dan DAP, malah menjadi mangsa kritikan pemilik portal berita apabila memaparkan gambar lama saya bersama isteri di Belanda yang dirakamkan pada 2016,” katanya.