PARTI Solidariti Tanah Airku (Star) mendapat 15 daripada 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diminta parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagaimanapun berkata tiga lagi kerusi masih dirunding bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) dan dijangka selesai sebelum pengumuman calon, Selasa atau Rabu ini.
“STAR pada mulanya meminta 18 kerusi dan kita sudah dapat 15. Bagi tiga kerusi lagi masih dibincangkan kerana ada pertindihan dengan rakan parti lain,” katanya ketika ditemui di Tambunan hari ini.
Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Beliau berkata senarai penuh calon dan kerusi yang ditandingi parti itu akan diketahui pada pengumumannya minggu depan.
“Kita akan umumkan nanti serentak dengan pengumuman calon yang bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.
PN bersama Barisan Nasional (BN) dijangka membuat pengumuman calon pada Selasa atau Rabu ini.
Selain Tambunan, Star menyandang kerusi DUN Bingkor, kedua-duanya dalam Parlimen Keningau.
Sebelum ini, Jeffrey mengumumkan Star turut bertanding di Paginatan, Ranau dan meletakkan penyandang kerusi itu, Datuk Abidin Madingkir yang menyertai parti itu bulan lalu.
Abidin adalah bekas Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan antara 14 wakil rakyat kerajaan negeri yang beralih arah menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri pada akhir Julai lalu.
Star turut menuntut kerusi DUN Sook di Pensiangan berdasarkan kedudukan kerusi itu yang kini disandang pemimpinnya, Datuk Ellron Angin.
Ellron memenangi kerusi itu atas tiket BN mewakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada PRU 2018, tetapi menyertai Star pada akhir tahun berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 12 September, diikuti pengundian awal pada 22 September dan pengundian pada 26 September ini. – Malaysiapost

