Tiga ‘minah rempit’ lumba haram ditahan

0
2

TIGA minah rempit ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam lumba haram termasuk melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam operasi selama tujuh jam yang berakhir 6 pagi tadi.

“Tiga wanita berusia 21 hingga 32 tahun itu menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di lebuh raya berkenaan.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapat perintah reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras kegiatan mat rempit yang sering menjadikan LLB sebagai litar haram untuk kegiatan berkenaan.

“Dua daripada wanita itu bekerja sebagai operator kilang manakala seorang lagi berniaga.

“Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati semua suspek negatif,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost