Agong ucap takziah atas pemergian pelakon veteran

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga pelakon dan seniman veteran, Datuk Zulkifli Zain yang meninggal dunia di kediamannya di Ukay Perdana, semalam.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarganya bersabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat dan bakti Allahyarham kepada dunia seni tanah air. Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli yang berasal dari Alor Setar meninggalkan balu, Datin Normala Omar yang juga pelakon dan penyanyi, lima anak serta tujuh cucu.

Beliau memulakan karier dalam lakonan menerusi filem Jiwa Remaja pada 1975.

Pada era kegemilangannya, Allahyarham membintangi drama Seri Mersing pada 1985 dan cukup terkenal dengan watak Bentayan.

Pada Mac lalu, pelakon veteran itu kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
Malah, pernah dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang. – Malaysiapost