Guan Eng cabar Khairuddin ‘tawar diri’ ke mahkamah

0
2

LIM Guan Eng, hari ini, mencabar Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ‘menawar diri’ untuk dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar perintah kuarantin wajib di rumah.

Setiausaha Agung DAP itu berkata Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya berani berbuat demikian sama seperti wanita berusia 72 tahun yang melakukan kesalahan sama.

“Sebagai pemimpin Khairuddin harus menunjukkan kepimpinannya melalui teladan.

”Perkara yang lagi tidak bermoral ialah kemelut ‘antara dua darjat’ atau ‘double-standard’ , apabila VIP seperti Menteri dikenakan kompaun ‘manja’ RM1,000, sedangkan rakyat biasa dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjara.

“Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani minta juga dihadapkan ke mahkamah sama seperti makcik tua yang berumur 72 tahun itu,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Malaysia Gazette, hari ini.

Guan Eng turut membidas Khairuddin selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu meminta Guan Eng menumpukan usaha membersihkan nama yang terpalit dengan dakwaan jenayah rasuah.

Katanya, jika itu adalah cara baharu Khairuddin, maka beliau juga harus mempersoalkan kelayakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi membuat ulasan atas isu negara walaupun masih dalam perbicaraan mahkamah.

”Malah Najib telahpun didapati bersalah oleh mahkamah dengan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Sebaliknya Khairuddin menconteng arang di muka sendiri dengan terus bersama kedua-dua pemimpin UMNO dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Guan Eng berkata, Khairuddin masih tidak mahu mengakui wujudnya ‘antara dua darjat’ walaupun hanya dikenakan denda sebanyak RM1,000 sahaja kerana
ingkar arahan kuarantin kendiri dan tidak memakai gelang merah jambu.

“Namun, mak cik tua berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjarakan.

“Itulah sebabnya begitu ramai menteri-menteri di luar negara telahpun letak jawatan kerana melakukan kesalahan yang sama iaitu melanggari peraturan keselamatan melawan Covid-19.

“Bukan sahaja Khairuddin, tetapi Pas juga tidak mahu mengakui kompaun ‘manja’ RM1,000 ini ialah antara dua darjat yang tidak bermoral.

“Sebaliknya Pas menganggap Khairuddin adalah seorang wira atau hero sungguhpun Khairuddin dan keluarganya melakukan kesalahan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu selepas kembali dari Turki,” ujarnya.

Guan Eng berkata, PAS juga menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri kerana cuai atas kesalahan yang dilakukan oleh Khairuddin.

Beliau berkata, pendirian Pas ini tidak masuk akal sehingga menuduh KKM yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, menunjukkan betapa terpesongnya sistem nilai dalam parti itu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan DAP tidak bersetuju dengan PAS yang mengangkat Khairuddin sebagai wira kerana seorang wira adalah yang mendedikasikan hidupnya melindungi orang lain dalam usaha menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik.

”Itulah perbezaan antara DAP dan PAS. DAP menganggap wira sebenar adalah anggota KKM dan pasukan keselamatan manakala Pas memilih Khairuddin,” katanya. – Malaysiapost