PRN Sabah: PKR berhasrat tingkatkan jumlah kerusi

0
2

PKR berhasrat untuk diberi ruang dengan adil bagi mendapatkan jumlah kerusi yang munasabah untuk ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Perkara itu diluahkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pagi ini.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh politik berkenaan membincangkan soal pengagihan kerusi untuk PRN negeri berkenaan.

“Saya sampaikan hasrat PKR selaku rakan sekutu untuk terus diberikan ruang dengan adil dan saksama sebagai parti yang mempunyai sejarah di Sabah.

“Kami juga bersetuju bahawa kesemua calon yang akan bertanding dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap sekali gus kekal mengemudi Sabah,” katanya di Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata parti itu berharap dapat meningkatkan jumlah kerusi untuk bertanding susulan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 60 menjadi 73 untuk PRN kali ini.

“Melihat adanya peningkatan kerusi, untuk merealisasikan potensi PKR, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menempatkan calon kami.

“Kali terakhir kami bertanding di lapan kerusi (di Sabah), jadi wajar bagi PKR untuk diberi peluang (bertanding di lebih banyak kerusi),” kata Saifuddin yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.

Alasan digunakan Saifuddin, PKR Sabah mempunyai bilangan ahli kedua tertinggi selepas Selangor.

“Tentu saja, dengan peningkatan kekuatan parti, diikuti dengan harapan anggota parti … masuk akal untuk PKR diwakili oleh sejumlah kerusi,” katanya.-Malaysiapost