
Fitri Nizam
SERAMAI 131 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 112 individu dikompaun manakala 17 lagi direman dengan kesalahan ingkar arahan.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang tertinggi adalah aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal sebanyak 73 kes dan tidak memakai pelitup muka 31 kes,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, sebanyak 60,340 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Ia melibatkan 2,829 pasukan pematuhan dengan 12,628 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja, serta terminal pengangkutan darat, air dan udara,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan sebanyak 18 tangkapan dilakukan dalam ‘Operasi Benteng’ melibatkan empat tekong dan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dalam operasi itu juga kita telah membuat rampasan melibatkan satu bot dan juga empat kenderaan darat. Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga telah dilaksanakan semalam,” katanya.-Malaysiapost
