Isteri MB Selangor mohon maaf

0
2

Nurul Huda Abhar

ISTERI Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad membuat permohonan maaf berhubung satu hantaran di laman sosial berkaitan isu masalah bekalan air tergendala yang tular semalam.

Beliau menolak dakwaan bahawa kehadiran lori tangki tersebut adalah untuk memenuhkan kolam renang yang terdapat di kediamannya.

“Saya menyedari kekhilafan di pihak saya untuk memuat naik gambar terdahulu yang menimbulkan banyak tafsiran.

“Malah ada yang kata lori itu dihantar untuk memenuhkan kolam renang tersebut. Itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram.

Menurut Masdiana, tujuan utama beliau memuat naik hantaran itu adalah sebagai tanda terima kasih atas usaha keras petugas barisan hadapan Syarikat Air Selangor.

Tambahnya, beliau memohon maaf jika hantaran itu menimbulkan maksud yang berlainan kepada sesetengah pihak.

“Sebagai seorang ibu, saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Syarikat Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, dan sama sekali tidak mempunyai niat untuk bermegah-megah.

“Justeru saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatang sebarang salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau akan bersama-sama pekerja Air Selangor membantu penduduk di kawasan yang masih belum menerima bekalan air.

Katanya, bantuan tersebut juga akan mengutamakan golongan ibu dan warga emas.

Semalam, hantaran Masdiana menerima kecaman selepas memuat naik gambar menunjukkan satu lori tangki tiba di depan kediamannya, sementara kawasan lain masih belum menerima bekalan air.

Malah, beliau turut memaparkan satu lagi gambar ahli keluarganya sedang mandi dalam kolam yang dipenuhi air di rumahnya, bersama tulisan ‘bila air takde’ yang dikatakan tidak menjaga sensitiviti dan sengaja menunjuk-nunjuk. – Malaysiapost