SELANGOR perlu memikirkan langkah lebih tegas ke atas pelaku yang menyebabkan pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan berlaku masalah bekalan air di negeri itu.
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ketika beliau memimpin Selangor, kerajaan negeri sudah melaksanakan tindakan tegas ke atas pelaku masalah terbabit.
“Saya ada pengalaman di Selangor sebelum ini, saya pernah menutup kilang yang didapati beroperasi di tebing sungai atau kilang yang beroperasi secara haram.
“Malah bukan sahaja ditutup, pengusaha ini juga sudah dikenakan tindakan yang keras termasuk tindakan mahkamah.
“Selain itu, saya juga mengarahkan tindakan audit dilakukan ke atas kilang yang didapati beroperasi tidak mematuhi syarat termasuk audit ke atas kilang haram yang dibina di tebing sungai,” katanya seperti dilapor BH.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, beliau menyarankan supaya kilang yang beroperasi di tebing sungai dipindahkan ke tempat lebih selamat dan perlu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meneruskan operasi.
“Saya berpendapat kerajaan Selangor dapat meneruskan tindakan sebelum ini supaya kemudahan dan infrastruktur ekonomi dapat diseimbangkan dengan masalah rakyat yang bakal timbul.
“Ini kerana ia juga memberi kesan ke atas ekonomi (bagi setiap tindakan yang diambil) selain perlu memikirkan langkah bantuan dan keselamatan ke atas rakyat,” katanya. -Malaysiapost

