Amanah Kota Raja nafi 545 ahli masuk Bersatu

0
1

AMANAH kawasan Kota Raja menafikan 545 ahlinya keluar parti bagi menyertai Bersatu.

Semalam dilaporkan, seramai 545 ahli Amanah Kota Raja mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta dan menyertai Bersatu kerana tertarik dengan kepimpinan presiden parti itu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, menurut Ketua Amanah kawasan itu, Abdul Mutalib Adam, daripada jumlah itu hanya lima individu dikenalpasti sebagai ahli parti.

Katanya, tindakan lima individu itu tidak menjejaskan Amanah Kawasan Kota Raja yang mempunyai 2,200 ahli membabitkan 32 cawangan.

“Kami mengambil maklum akan berita sebahagian ahli jawatankuasa kepimpinan kawasan yang telah menyerahkan borang untuk menyertai Bersatu.

“Bagaimanapun jumlah sebenar ahli dan pimpinan yang menyertai Bersatu tidak dapat kami pastikan dan masih dalam siasatan.

“Hanya lima yang dikenal pasti sebagai ahli dan kami ingin menegaskan bahawa barisan kepimpinan dengan kekuatan daripada 32 cawangan masih kekal utuh dan kuat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian. – MalaysiaPost