Muhammad Mustakim Ramli
PELAKON veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia di kediamannya di UK Perdana di Kuala Lumpur, malam tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, Datin Normala Omar dan lima anaknya kira-kira jam 8.30 malam.
Berita pemergian Zulkifli dikongsikan rakan pelakon, Den Wahab menerusi akaun Facebook.
“Dukacita dimaklumkan seniman Dato’ Zulkifli Zain telah pun pergi menemui penciptaNya sebentar tadi,” katanya.
Pada Mac lalu, media melaporkan keadaan pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
Malah sebelum itu, bapa kepada pelakon Dr. Norzizi itu juga pernah dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.
Allahyarham Zulkifli memulakan karier seni dengan filem pertama lakonannya Jiwa Remaja pada tahun 1975.
Beliau juga telah berlakon lebih 10 buah filem dan beratus drama sepanjang berada dalam dunia hiburan.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana pagi esok. – Malaysiapost

