SALURAN semula perkhidmatan air di Lembah Klang pulih sebanyak 32.15 peratus sehingga jam 9 malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kuala Selangor hampir pulih sepenuhnya diikuti Kuala Lumpur, Petaling dan Klang.
“Sebanyak 384,692 akaun telah pulih daripada 1,196,457 keseluruhan.
“Pada masa sama, sebanyak 93 lori tangki dan 27 lori tangki jumbo telah digerakkan ke kawasan yang belum menerima bekalan air.
“Sebanyak 14,162 botol air minuman lima liter juga telah diagihkan setakat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang kembali beroperasi jam 10.30 malam tadi, mengambil masa 10 jam untuk pencucian dan pengepaman.
Ia dijangka dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter yang dijangka selesai pada jam 8.30 pagi tadi, sebelum dapat diagihkan kepada pengguna secara berperingkat. – Malaysiapost

