Suspek cemar Sungai Gong berdepan 10 tahun penjara, denda RM500,000

0
2

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kini mempertimbangkan untuk menggunakan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 terhadap pelaku yang terbabit dalam pencemaran sumber air mentah di Sungai Gong, Rawang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau sebatan atau ketiga-tiganya sekali.

Kata beliau, proses tindakan penguatkuasaan dan perundangan pelbagai agensi merangkumi SPAN dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang berjalan.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap suspek dijangka dijalankan minggu depan.

Terdahulu, polis menahan empat lelaki yang juga pemilik kilang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek berumur 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kira-kira jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Premis tersebut dipercayai menjadi punca pencemaran selepas disyaki membuang bahan pelarut ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Tindakan pemilik bengkel itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang hingga dijangka berterusan sekurang-kurangnya empat hari. – Malaysiapost