Sabar… lagi 4 hari baru ada air

0
2

GANGGUAN bekalan air membabitkan sebahagian besar kawasan Lembah Klang dijangka berterusan sehingga empat hari lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hanya boleh kembali beroperasi jika tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

“Setakat jam 2.30 petang hari ini, pencemaran masih dikesan di muka sauk loji berkenaan dan berada pada tahap 1 TON.

“LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 hanya dapat beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh tiga kali berturut-turut. Ujian bacaan tiga kali ini dibuat setiap 30 minit,” katanya.

Beliau memaklumkan apabila LRA mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari.

Sebelum ini dilaporkan, sebanyak 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang,Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia susulan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas berikutan pencemaran di sumber air mentah Sungai Selangor.-Malaysiapost