Muhammad Mustakim Ramli
TIADA kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian pandemik itu kekal 128 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga tengah hari ini, sembilan kes berjaya dipulihkan dengan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya adalah 9,092 kes.
“Bagaimanapun, terdapat 11 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah positif Covid-19 di Malaysia adalah 9,385 kes.
“Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga Malaysia dan lima bukan warganegara.
“Tujuh kes import itu adalah dari India (5), Arab Saudi (1) dan United Kingdom (1),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, bagi empat kes penularan dalam negara, tiga kes adalah dalam kalangan warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara iaitu daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 di Selangor.
Beliau turut memaklumkan, sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid- 19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost

