Kedudukan Osman, pecat ke tak pecat ni?

0
3

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan masih kekal ahli Bersatu, di sebalik laporan awal mendakwa beliau telah dipecat.

Ia susulan tindakannya membantu kempen calon Bebas yang disokong Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, baru-baru ini.

Dalam laporan awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Osman telah dilucut keahlian, namun tidak lama selepas itu Berita Harian pula menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu masih ahli Bersatu.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata pihaknya akan memanggil Osman bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan beliau membantu kempen calon Bebas.

“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita kena beri keutamaan kepada rakyat.

“Buat masa ini, kita akan memanggil Osman menghadap lembaga disiplin parti dalam tempoh terdekat. Kita akan mengeluarkan surat kepada beliau dan memberinya tempoh seminggu,” katanya.

Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan Osman yang dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi di Slim.

Osman kemudian mendakwa kehadirannya di Slim, sekadar bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tiada kaitan dengan politik.

Terdahulu, memetik sumber yang sama, Malaysiakini melaporkan Megat Najmuddin berkata mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian dalam Bersatu.

Justeru, katanya, Osman tidak perlu didakwa di hadapan Lembaga Disiplin.

“Tak perlu didakwa depan Lembaga Disiplin. Setiausaha Agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkahlaku beliau sendiri,” katanya. – Malaysiapost