Timbalan menteri tarik balik kenyataan, minta maaf pada YouTuber

0
2

“SAYA ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Kenyataan itu hadir hanya beberapa jam selepas beliau menyangkal dakwaan bahawa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah bagi mendapat capaian internet untuk peperiksaan.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Ketika sidang Dewan Negara siang tadi, Zahidi dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang YouTuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

“Veveonah merupakan seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta pihak berwajib yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video tular Veveonah ketika bertanya tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.

Sementara itu memetik laporan Malaysiakini, Veveonah menafikan kenyataan Zahidi dan menyifatkan ia tuduhan palsu.

“Apa yang dikatakan timbalan menteri itu palsu. Ya betul saya memang ada ambil peperiksaan yang seperti dalam video itu.

“Saya pun memang tidak ada jumpa dengan timbalan menteri itu dan tidak mempunyai apa-apa komunikasi dengannya,” katanya. -MalaysiaPost