SEORANG suri rumah maut selepas kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah, merempuh gerai menjual daging di tepi Jalan Pasir Mas-Meranti berhampiran Kampung Pohon Buloh, Kelantan hari ini.
Tragedi berlaku pada jam 9.30 pagi ketika Noriha Zakaria, 28, membeli daging di gerai di tepi jalan sebelum dirempuh Perodua Alza dipandu suspek berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata mangsa yang berasal dari Kampung Machang Gochoh meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian perut.
Katanya, siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan dan merempuh gerai daging, seterusnya melanggar mangsa.
“Keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamin dan mengalami kecederaan di lengan dan kaki,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaPost

