Lepas tembakan sebelum rompak bank

0
2

SEORANG perompak bertindak nekad masuk ke dalam sebuah bank lalu melepaskan tembakan amaran sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM20,000 petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.23 petang di Hong Leong Bank, Jalan SS 15/46 di Subang Jaya, suspek dipercayai bersenjatakan pistol automatik berdasarkan kelongsong yang ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata sebaik masuk ke dalam bank suspek yang dipercayai berbangsa Cina telah menolak pengawal keselamatan.

“Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah siling dan meluru ke arah kaunter lalu mengarahkan pekerja bank menyerahkan wang sebelum melarikan diri.

“Kerugian dianggarkan RM20,000 dan semasa kejadian keadaan cuaca hujan lebat. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Melepaskan tembakan semasa melakukan rompak) dan Seksyen 392 / 397 Kanun Keseksaan (Rompak dengan senjata). -MalaysiaPost