TIGA wanita dibebaskan selepas dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menconteng mural yang memaparkan wajah pemimpin negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tiga wanita yang berumur antara 25 dan 35 tahun itu dibebaskan selepas didapati mempunyai alibi kukuh yang tidak membolehkan mereka disabitkan dengan jenayah itu.
“Mereka telah dipanggil tiga minggu lepas, kerana pada mulanya disyaki terlibat, namun selepas siasatan, didapati mereka tidak terlibat.
“Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dalam aspek teknikal bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Neighborhood Watch Programme di Seksyen U5, di sini.
Julai lepas, mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di Shah Alam telah diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan dengan menggunakan cat merah.
Mural gergasi itu memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan beberapa pemimpin lain.
Susulan kejadian itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera dengan memadamkan keseluruhan mural itu dengan mengecat semula. -MalaysiaPost
Kredit Foto: Bernama

